RAWANG: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri memantau rapat perkembangan ketegangan geopolitik di Asia Barat termasuk membabitkan Iran dan Israel susulan letupan di Isfahan hari ini.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata buat masa ini, pasaran saham masih berada dalam keadaan yang stabil.

“Terdapat pelbagai kebimbangan... dan sudah tentu (antara kesan) harga minyak akan naik jika situasi ini berterusan sebab laluan itu merupakan laluan yang penting untuk eksport minyak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah pembinaan MCE Auto Hub di Serendah pada Jumaat.

Pada Jumaat, media melaporkan letupan kedengaran di barat laut bandar Isfahan di Iran, yang didakwa berpunca daripada serangan Israel.